Monday, August 15, 2011

Media Arus Perdana vs Media Baru

Media arus perdana sememangnya berfungsi dan bertanggungjawab menyampaikan apa sahaja maklumat kepada semua rakyat di sesebuah negara. Hal ini kerana media arus perdana mendominasi medium penyampaian berita dan maklumat kepada awam. Oleh itu, sudah pastilah media arus perdana menjadi lebih dominan dan tumpuan masyarakat bagi mendapatkan maklumat dan mengetahui sesuatu isu yang berlaku sama ada di dalam atau di luar negeri.

Di Malaysia, media arus perdana sudah pastilah terdiri daripada RTM, TV3, NTV7, 8TV, TV9, ASTRO, Berita Harian, Utusan Malaysia, Harian Metro, Sinar Harian, The Star dan The New Straits Times. Adakah semua media arus perdana tersebut mampu menyampaikan berita dan maklumat dengan tepat, telus dan tidak bias. Setiap orang pastinya mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing bagi persoalan berikut. Bagi aku, ketelusan, ketepatan dan keadilan media arus perdana menyampaikan berita dan maklumat sangat menyedihkan. Aku juga percaya ramai masyarakat sudah membuka mata dan menyedari akan kepincangan yang berlaku kepada media arus perdana dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan tidak bias.

Kenapa kesedaran ini timbul? Jawapannya sudah pastilah di sebabkan kewujudan media baru iaitu internet yang merangkumi laman web, e-mail, blog, facebook, twitter dan sebagainya. Kebelakangan ini media baru ini dilihat sudah mula mengambil alih peranan media arus perdana dalam menyampaikan sesuatu maklumat dan  isu. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat mula mempunyai peluang yang lebih luas untuk mencari maklumat berkenaan sesuatu isu dengan lebih bebas. Daripada sini pelbagai maklumat yang diperolehi akan dinilai sendiri oleh masyarakat sama ada sesuatu maklumat itu benar atau palsu, baik atau buruk dan juga tepat atau bias. Tambahan pula masyarakat kini sudah semakin bijak untuk menilai keadaan sesuatu isu dan ketelusan sesuatu maklumat.    

Tetapi tidak semua orang dapat "menikmati" media baru ini terutamanya masyarakat di luar bandar kerana tiadanya rangkaian yang dapat menghubungkan mereka dengan media baru ini. Di tambah pula dengan tahap kesedaran yang masih rendah berkenaan teknologi maklumat. Jikalau ada sekalipun masyarakat yang mempunyai rangkaian perhubungan media baru ini, jumlahnya masih lagi kecil. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab sepatutnya mengambil berat isu ini. Kepincangan dan ketidaksamaan dalam pembangunan teknologi maklumat ini sepatutnya tidak boleh dibiarkan berterusan. Setiap orang mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang sewajarnya. Pemberian notebook tanpa disertakan dengan rangkaian internet sebenarnya tidak mampu memberikan sebarang manfaat yang maksimum kepada masyarakat. Dalam menjalankan sesuatu tanggungjawab tidak usahlah seperti "melepaskan batuk di tangga."

Jika suatu hari nanti semua masyarakat mempunyai peluang yang sama rata dalam mendapatkan maklumat, pasti media arus perdana tidak akan relevan lagi jika media ini tidak mampu untuk menyampaikan maklumat dengan tepat, masih lagi bias dan dikawal oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan sendiri.

Kita mampu mengubahnya !!!



No comments:

Post a Comment