Hari ni dah 18 hari kita berpuasa. Lebih kurang 2 minggu lagi kita akan sambut hari raya Aidilfitri. So buat masa ni kebanyakan entri mungkin lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan hari raya agar dapat membangkitkan mood hari raya. Antara perkara yang sememangnya mampu menghadirkan mood dan kemeriahan hari raya adalah kad raya.
Suatu ketika dahulu kad raya boleh dikatakan satu benda wajib yang mesti ada bagi memeriahkan hari raya. Maka ramailah orang yang berpusu-pusu membeli kad raya untuk dihantar kepada teman, ibu, bapa, keluarga, tunang, suami, isteri dan sebagainya. Kebiasannya fenomena ini dapat dilihat bermula pada minggu kedua berpuasa. "Kegilaan" masyarakat terhadap kad raya menyebabkan banyak kedai dan gerai menjual kad raya wujud di mana-mana saja. Pada ketika itu pelbagai jenis kad raya yang wujud. Keadaan ini telah melahirkan satu suasana yang cukup menarik dan nostalgia.
Pada masa itu posmen-posmen memang terpaksa berkerja lebih masa bagi menghantar kad-kad raya yang bertimbun ke alamat yang tertera. Maka ramailah yang akan menunggu kedatangan posmen walaupun hari-hari biasa ramai yang buat tidak endah saja kepada posmen. Malah aktiviti menunggu kedatangan posmen menjadi rutin kepada sesetengah orang. Kenapa semua ini berlaku??? Jawapannya kerana penangan kad raya. Itu belum lagi melihat reaksi setiap orang yang mendapat kad raya yang dikirimkankan oleh kenalan masing-masing. Pelbagai ragam boleh dilihat pada ketika itu.
Tapi itu dulu. Sekarang suasana tersebut seolah-olah makin hilang ditelan arus kemodenan. Menghantar kad raya kepada kenalan bukan lagi menjadi satu perkara yang wajib bagi setiap orang. Kebanyakan orang pada masa kini lebih gemar menyampaikan ucapan hari raya melalui SMS, e-mail, Facebook, Twitter dan sebagainya. Leceh dan menyusahkan kata mereka kalau menggunakan kad raya kerana perlu membeli kad raya, setem dan ke pejabat pos. Maka mereka memilih untuk mengaplikasikan teknologi sebagai satu kaedah baru menyampaikan ucapan hari raya sebagai tanda ingatan.
Keadaan tersebut sedikit demi sedikit telah membunuh satu tradisi dan nostalgia bagi menyambut hari raya. Sebenarnya kita tidak menyedari tradisi menghantar kad raya makin hari makin hilang ditelan arus teknologi maklumat. Tetapi masih ada lagi sebilangan kecil yang masih mempertahankan tradisi ini. Biar bersusah payah sekalipun asalkan mereka mendapat satu kepuasan dan mengekalkan tradisi nostalgia agar tidak ditelan zaman. Soal masih relevan atau tidak kad raya sebenarnya bergantung kepada setiap individu. Bagi generasi baru mungkin mereka menganggap kad raya sudah tidak relevan dalam zaman serba moden ini. Tetapi bagi generasi lama mereka tetap mempertahankan tradisi yang menyeronokkan dan mengimbau nostalgia itu.